APMM Sabah rampas rokok seludup bernilai RM2.6 juta

KOTA KINABALU, 12 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo dan merampas 650,000 kotak kecil rokok putih bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini Isnin lepas.

Pengarah APMM  Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata bot terbabit ditahan oleh sepasukan peronda yang sedang melakukan operasi ‘Op Api’ di kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Usukan kira-kira pukul 11 malam.

“Berdasarkan maklumat Pusat Pengawasan Maritim, terdapat objek yang mencurigakan di atas bot terbabit sebelum pasukan peronda menghampiri dan menahan bot itu.

Turut ditahan seorang tekong bersama empat kru warganegara India dan dua kru warga tempatan dan kesemua mereka yang berusia 24 hingga 50 tahun itu mempunyai dokumen yang sah.” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati bot kargo terbabit  didaftarkan di Mongolia dan kesemua rokok seludup berkenaan dibawa daripada Vietnam dan akan dihantar di dua lagi lokasi iaitu Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia. – Bernama