KUDAT, 6 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang berpangkalan di sini, menahan satu bot pancing disyaki membawa 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di perairan daerah itu, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Daerah Kudat Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata bot pancing yang mencurigakan bergerak dari Pulau Cagayan, Filipina ke perairan Kudat itu ditahan dalam Op Pluto Timur kira-kira 1 pagi tadi.
“Selepas menerima maklumat daripada pihak Sistem Pengawasan Laut (SWASLA SABAH), Bot Pengawal 44 yang bertugas digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan bot bernombor pendaftaran KT 5435/F berhampiran Tanjung Berungus.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa 17 penumpang termasuk tekong bot. Kesemua penumpang berumur di antara enam hingga 51 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Boon berkata bot pancing itu kemudian dibawa ke Jeti Awam Kudat sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan APMM Kudat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya. – Bernama