LAHAD DATU, 6 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot pam disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan berdekatan Pulau Malundangan.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mohd Som berkata bot itu ditahan antara 11:10 pagi hingga 11:40 pagi semalam dalam operasi ‘Pluto Timur’.
“Ketika bot BANGGI 48 cuba menghampiri bot pam pertama dan kedua yang masing-masing di dalamnya berada tiga awak-awak bot itu, mereka telah mendayung bot berkenaan rapat ke daratan untuk melarikan diri, manakala tiga awak-awak lagi yang berada di dalam bot pam ketiga terjun ke laut untuk meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga bot itu menemukan pelbagai jenis muatan ikan dianggarkan seberat 340 kilogram serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengeboman ikan.
“Antara barang rampasan di atas ketiga-tiga bot tersebut satu ‘compressor’ (alatan bantuan menyelam), satu enjin compressor, hos getah 20 meter, satu botol disyaki berisi bahan peledak dan lima sumbu disyaki untuk bahan peledak,” katanya. – Bernama