LABUAN, 26 DIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas menyelam ke dalam laut untuk memotong jaring yang tersangkut pada enjin bot, semalam.
Pengarah APMM Labuan, Kapten Nudin Jusoh berkata mangsa dikenal pasti sebagai Diniela Rambie, 58, menangkap ikan bersama dua kru dengan menggunakan bot nelayan (trawler) sekitar 5 petang Hari Krismas itu.
“Operasi SAR dilancarkan sebaik sahaja menerima laporan orang hilang daripada rakan mangsa pada hari yang sama, memandangkan dia tidak kembali semula ke bot.
“Mangsa dan seorang lagi anak kapal sedang cuba melepaskan jaring yang tersangkut pada enjin bot, anak kapal itu kembali ke bot tetapi mangsa tidak kembali selepas jaring itu berjaya dilepaskan,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama


