Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apollo sasar pegangan ekuiti dalam 7-Eleven

    TOKYO, 10 JAN – Saham dalam syarikat induk 7-Eleven meningkat lebih tujuh peratus pada hari ini selepas laporan mengatakan firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), Apollo menyasar pegangan AS$9.5 bilion dalam pemilik rangkaian kedai serbaneka terbesar di dunia itu.

    Seven & i Jepun tahun lepas menolak tawaran pengambilalihan bernilai hampir AS$40 bilion daripada syarikat induk Circle K, Alimentation Couche-Tard, mendorong firma Kanada itu dilaporkan menambah bidaannya sebanyak 20 peratus.

    Seven & i kemudian berkata pada November ia sedang mengkaji tawaran balas daripada keluarga pengasas syarikat Ito yang dilaporkan bernilai kira-kira lapan trilion yen (AS$50 bilion).

    Bloomberg News melaporkan hari ini Apollo Global Management sedang mempertimbangkan untuk mengambil pegangan ekuiti dalam bidaan itu bernilai sebanyak 1.5 trilion yen.

    Keluarga Ito sedang menimbang komitmen berjumlah kira-kira 500 bilion yen dan Itochu Corp, yang memiliki rangkaian FamilyMart, lebih daripada satu trilion yen, lapor Bloomberg, memetik individu yang tidak dinamakan yang biasa dengan perkara itu.

    Rakan kongsi lain masih merundingkan kepentingan sebagai sebahagian daripada rancangan itu, yang tertakluk kepada perubahan, dan baki pembiayaan akan datang daripada bank-bank terkemuka Jepun, kata laporan itu.

    Ia menambah jumlah tawaran pembelian penilaian pada asalnya dirancang sebanyak sembilan trilion yen tetapi ia mungkin dikurangkan kerana nilai pasaran Seven & i – 6.3 trilion yen pada hari ini – kini jauh lebih rendah.

    Ketua Kewangan Seven & i, Yoshimichi Maruyama berkata semalam firma itu masih mempertimbangkan kedua-dua tawaran Couche-Tard dan cadangan pembelian keluarga. – AFP

    Seorang lelaki berdiri di depan kedai 7-Eleven di tengah Tokyo pada 9 Januari 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda