PARIS, 2 SEPT – Apple akan mengemas kini perisian pada telefon bimbit iPhone 12 di seluruh Kesatuan Eropah (EU) untuk mengurangkan kuasa pemancar radio mereka, katanya kelmarin, selepas Brussels mengesahkan peranti itu tidak memenuhi piawaian kesihatan.
Kemas kini perisian, yang dijadualkan dalam minggu-minggu akan datang di seluruh EU, adalah sejajar dengan perubahan 2023 yang dibuat pada telefon di Perancis berdasarkan ujian oleh pihak berkuasa frekuensi radio ANFRnya.
“Kami tidak bersetuju dengan pendekatan ujian ANFR Perancis, tetapi menghormati keputusan Suruhanjaya Eropah,” kata Apple dalam satu kenyataan.
“Pelanggan boleh menggunakan iPhone 12 mereka dengan penuh keyakinan, seperti yang selalu mereka lakukan,” tambahnya.
ANFR mengarahkan jualan iPhone 12 dihentikan pada September 2023 kerana pelepasan elektromagnet berlebihan yang diserap oleh tubuh manusia apabila peranti itu dipegang di tangan.
Apple dengan segera mengeluarkan kemas kini untuk menanganinya, tetapi ia hanya dilakukan di Perancis.
Suruhanjaya Eropah mengesahkan penemuan ANFR dan langkah-langkah seterusnya dalam keputusan 19 Ogos yang diterbitkan kelmarin dalam Jurnal Official. – AFP


