Tuesday, February 25, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple akan labur AS$500 bilion di AS di sebalik ancaman tarif Trump

    ISTANBUL, 25 FEB – Apple mengumumkan kelmarin bahawa syarikat itu akan melabur AS$500 bilion di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan memperluas pasukan dan kemudahan di Michigan, Texas, California, Arizona, Nevada, Iowa, Oregon, North Carolina dan Washington.

    “Rancangan ini merangkumi pembinaan kilang baharu di Texas, menggandakan Dana Pembuatan Termaju AS, penubuhan akademi pembuatan serta mempercepatkan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan silikon,” menurut kenyataan Apple yang dipetik Anadolu Ajansi.

    Pada Jumaat, Presiden AS, Donald Trump berkata: “Saya bertemu Tim Cook dari Apple di pejabat. Dia melabur ratusan bilion dolar.”

    Menurut Trump, Cook sedang memindahkan pembuatan Apple dari Mexico ke AS dan berkata:

    “Kita akan melihat lebih banyak pengeluar cip dan pembuat kereta datang ke sini. Mereka telah menghentikan dua kilang di Mexico. Mereka tidak mahu membayar tarif, jadi mereka memilih untuk membina di sini. Tarif ini sangat berkesan. Ini sesuatu yang baik.”

    Dalam kenyataan akhbar pada Isnin, Cook berkata Apple optimis terhadap masa depan inovasi Amerika: “Kami berbangga untuk meneruskan pelaburan jangka panjang kami di AS dengan komitmen AS$500 bilion ini untuk masa depan negara kami.”

    Sebagai sebahagian daripada pakej pelaburan ini, gergasi teknologi dan rakan kongsinya akan membuka kemudahan pembuatan termaju baharu di Houston bagi menghasilkan pelayan yang menyokong Apple Intelligence, sistem kecerdasan peribadi yang membantu pengguna menulis, meluahkan perasaan mereka dan menyelesaikan tugasan, menurut kenyataan itu.

    Apple turut menyatakan bahawa “komitmen AS$500 bilion ini merangkumi kerjasama Apple dengan ribuan pembekal di semua 50 negeri, pekerjaan secara langsung, infrastruktur dan pusat data Apple Intelligence, kemudahan korporat serta pengeluaran Apple TV+ di 20 negeri.

    “Apple kekal sebagai antara pembayar cukai terbesar di AS, setelah membayar lebih AS$75 bilion dalam cukai AS sepanjang lima tahun lepas, termasuk AS$19 bilion pada 2024 sahaja.”

    Anadolu melaporkan bahawa susulan kenyataan Apple, Trump menulis di platform media sosial Truth: “Apple baru sahaja mengumumkan rekod pelaburan AS$500 bilion di Amerika Syarikat.

    “Sebabnya? Kepercayaan terhadap apa yang kita lakukan, tanpanya, mereka tidak akan melabur walau sepuluh sen sekalipun. Terima kasih Tim Cook dan Apple!” – Bernama/Anadolu 

    Donald Trump bersama Tim Cook dalam satu mesyuarat di Bilik Makan Negeri di White House, Washington pada Mac 2019. Apple akan labur AS$500 bilion di AS. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda