Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple, OpenAI perkenal ‘Apple Intelligence’

    CUPERTINO, 11 JUN – Apple, semalam, telah melancarkan ‘Apple Intelligence’, suite ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) baharunya untuk peranti idamannya – dan perkongsian dengan OpenAI – ketika ia berusaha mengejar pesaing yang berlumba di hadapan dalam menggunakan teknologi tersebut.

    Selama berbulan-bulan, Apple mendapat tekanan untuk memujuk orang yang ragu-ragu mengenai strategi AInya, selepas Microsoft dan Google melancarkan produk secara berturut-turut.

    Tetapi langkah terbaru itu akan membawa pengalaman produk Apple ke tahap yang lebih tinggi, menurut ketua eksekutif Apple, Tim Cook semasa beliau membuka Persidangan Pembangun Sedunia tahunan di ibu pejabat gergasi teknologi itu di bandar Silicon Valley di Cupertino, California.

    Untuk membantu ke arah itu, Apple telah bekerjasama dengan OpenAI, yang membawa kepada era baharu untuk AI generatif pada tahun 2022 dengan ketibaan ChatGPT.

    OpenAI “sangat gembira dapat bekerjasama dengan Apple untuk menyepadukan ChatGPT ke dalam peranti mereka nanti pada tahun ini! (Saya) rasa anda akan sangat menyukainya,” tulis ketua syarikat itu Sam Altman di media sosial.

    Apple Intelligence juga akan ditambah kepada versi baharu sistem pengendalian iOS 18, yang turut diumumkan semalam pada persidangan selama seminggu itu.

    Eksekutif Apple menekankan perlindungan privasi telah dibina ke dalam Apple Intelligence untuk menjadikan pembantu digital Siri dan produk lain lebih pintar, tanpa mencuri data pengguna.

    Cabaran besar bagi Apple ialah bagaimana untuk menyelitkan AI gaya ChatGPT – yang dengan rakus menyuap data – ke dalam produknya tanpa melemahkan privasi dan keselamatan penggunanya yang sangat dipromosikan, menurut penganalisis.

    Sistem itu “meletakkan model generatif yang berkuasa tepat pada teras iPhone, iPad dan Mac anda,” kata naib presiden kanan kejuruteraan perisian Apple, Craig Federighi.

    “Ia menggunakan konteks peribadi anda untuk memberi anda kecerdasan yang paling berguna dan relevan untuk anda, dan ia melindungi privasi anda pada setiap langkah.” – AFP

    Tim Cook (kiri), Naib Presiden kanan pembelajaran mesin dan strategi AI, John Giannandrea (tengah), dan Craig Federighi (kanan) bercakap semasa Persidangan Pembangun Sedunia (WDC) tahunan Apple di Cupertino, California, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda