Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple didakwa ingkari perintah mahkamah

    SAN FRANCISCO, 1 MEI – Seorang hakim di Amerika Syarikat kelmarin telah menuduh Apple mengingkari perintah mahkamah untuk melonggarkan kawalan ke atas sistem pembayaran App Store sehingga boleh dikenakan pertuduhan jenayah.

    Hakim Mahkamah Daerah AS, Yvonne Gonzalez Rogers mendapati Apple ‘dengan sengaja’ melanggar injunksi yang dikeluarkannya semasa perbicaraan, dengan syarikat itu didakwa mewujudkan sekatan baharu terhadap persaingan di App Store serta berbohong kepada mahkamah.

    “Memandangkan Apple menyangka mahkamah ini akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan sebegitu merupakan satu kesilapan besar,” kata Gonzalez Rogers dalam perintah yang membenarkan Epic Games menguatkuasakan injunksi terhadap Apple.

    Epic Games, pencipta permainan Fortnite, memfailkan kes itu pada 2021 dengan tujuan untuk memecahkan dominasi Apple ke atas App Store, menuduh syarikat itu bertindak seperti monopoli dalam pasaran barangan dan perkhidmatan digital.

    Selepas perbicaraan, Gonzalez Rogers memutuskan kawalan Apple terhadap App Store tidak bersamaan dengan monopoli, tetapi syarikat itu mesti membenarkan pencipta aplikasi menyertakan pautan ke platform lain untuk pembelian kandungan atau perkhidmatan.

    Hakim juga mendapati komisen 30 peratus yang dikenakan oleh Apple terhadap jualan di App Store memberikan margin operasi yang ‘melebihi kadar persaingan’ dan dianggap mengawal persaingan, menurut injunksi.

    Ia juga termasuk mengenakan komisen terhadap pembelian yang dibuat melalui pautan luar App Store, menurut hakim.

    Jurucakap Apple memberitahu AFP, syarikat itu tidak bersetuju dengan keputusan hakim dan akan membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi, namun tetap akan mematuhi keputusan tersebut. – AFP

    Logo Apple kelihatan di sebuah pusat beli-belah, pada 10 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda