BRUSSELS, 3 MAC – Perubahan yang dibuat Apple kepada perkhidmatannya di Kesatuan Eropah (EU) ‘meremehkan’ peraturan antitrust baharu dalam blok itu, 34 organisasi digital mengadu kepada Suruhanjaya Eropah minggu ini.
Mereka termasuk pembuat aplikasi Epic Games dan Spotify.
“Kami sangat bimbang bahawa skim yang dicadangkan Apple untuk mematuhi Akta Pasaran Digital (DMA)… tidak akan memenuhi keperluan undang-undang, oleh itu menghalang kemampuan kami untuk memberikan manfaat DMA kepada pengguna secepat mungkin,” kata mereka dalam surat kepada eksekutif EU bertarikh Jumaat lalu.
Apple pada Januari mengumumkan ia mengubah cara sistem operasi iOS, pelayar Safari dan App Store beroperasi di 27 negara EU.
Ia berkata telah berbuat demikian untuk mematuhi DMA, yang mengekang amalan anti-persaingan dalam talian blok itu.
Apple dan syarikat teknologi besar lain yang dianggap ‘pengawal pasaran’ – induk syarikat Google Alphabet, Amazon, Meta, Microsoft dan pemilik TikTok, ByteDance – mempunyai tempoh sehingga 7 Mac untuk selaras dengan DMA.
Undang-undang EU mengancam untuk mengenakan denda sehingga 10 peratus daripada pendapatan global bagi ketidakpatuhan atau 20 peratus bagi pesalah ulangan.
Apple terutamanya mengumumkan ia, buat pertama kali, membuka App Store kepada aplikasi saingan dan membenarkan perkhidmatan pembayaran di luar Apple Pay pada iPhone. – AFP