Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple-Google bincang guna Gemini AI untuk iPhone

    SAN FRANCISCO, 19 MAC – Apple sedang dalam rundingan lanjutan dengan Google untuk mengguna pakai model Gemini AI yang berkuasa untuk iPhone, lapor Bloomberg kelmarin.

    Tindakan itu, jika disahkan dan mencapai kesepakatan, akan menjawab salah satu persoalan besar mengenai strategi AI pembuat iPhone itu, yang dikritik telah ketinggalan sebagai pesaing teknologi gergasinya.

    Menurut laporan itu, harga saham Google telah meningkat lebih enam peratus. Sementara Apple naik sebanyak 2.5 peratus.

    Tambahnya lagi, Apple sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Google untuk keluaran sistem pengendalian iOS seterusnya dan dijangka akan dipaparkan pada iPhone seterusnya akhir tahun ini.

    Apple dan Google sudah pun bersetuju dalam perkongsian enjin carian yang menyaksikan Google membayar Apple berpuluh bilion dolar setiap tahun untuk memberikan enjin carian tempat yang menonjol di iPhone.

    Perjanjian enjin carian yang telah lama berjalan itu menghadapi tuntutan mahkamah bersejarah daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kerana dakwaan melanggar undang-undang kawalan.

    Bloomberg melaporkan Apple juga telah mengadakan perbincangan dengan OpenAI, pencipta ChatGPT, untuk bekerjasama dalam AI generatif, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, bulan lepas berkata akan terdapat kemas kini utama di hadapan AI, walaupun sesetengah pemerhati mungkin kecewa kerana syarikat itu bekerjasama dengan orang lain untuk menyampaikan AI. – AFP

    Dalam ilustrasi foto ini, Gemini Ai dilihat pada telefon pada 18 Mac 2024 di New York City. Apple mengumumkan bahawa mereka sedang meneroka perkongsian dengan Google untuk melesenkan ciri berkuasa AI Gemini pada iPhone dengan kemas kini iOS akhir tahun ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda