Sunday, March 30, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple, Google perlu periksa umur pengguna di Utah

    SAN FRANCISCO, 27 MAC – Negeri Utah di Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani undang-undang kelmarin yang mewajibkan pengendali gedung aplikasi seperti Apple dan Google untuk memeriksa umur kanak-kanak sebelum mereka memuat turun aplikasi.

    Undang-undang yang akan berkuatkuasa pada bulan Mei ini akan meletakkan tanggungjawab kepada Apple’s App Store dan Google Play Store untuk memeriksa umur pengguna, berbanding dengan penerbit aplikasi seperti platform media sosial.

    Kanak-kanak mestilah berumur 13 tahun untuk menggunakan rangkaian sosial di AS, namun gedung aplikasi selama ini berpendapat bahawa tanggungjawab untuk memeriksa umur tidak terletak pada mereka.

    Platform seperti Instagram dan TikTok sering dikritik kerana gagal melindungi golongan muda daripada buli, ketagihan dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

    Gergasi media sosial Meta, yang memiliki Facebook dan Instagram, menyambut baik langkah ini melalui kenyataan bersama dengan Snapchat dan X.

    Gambar Freepik

    “Kami memuji Gabenor (Spencer) Cox dan negeri Utah kerana menjadi yang pertama di negara ini memberi kuasa kepada ibu bapa dan pengguna untuk memiliki kawalan lebih besar terhadap muat turun aplikasi remaja dan menggesa negeri lain untuk mempertimbangkan pendekatan bersejarah ini,” kata kenyataan tersebut.

    “Ibu bapa mahu satu tempat untuk mengawasi dan meluluskan pelbagai aplikasi yang ingin dimuat turun oleh anak remaja mereka, dan Utah telah memimpin dalam menyentralisasikannya dalam gedung aplikasi peranti.”

    Apple dan Google tidak segera memberi respons terhadap permintaan AFP untuk ulasan.

    Namun, kumpulan perdagangan industri teknologi Chamber of Progress memberi amaran bahawa undang-undang ini mengancam privasi pengguna Utah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda