NEW DELHI, 18 APRIL – Apple Inc membuka cawangan pertamanya di India dalam pelancaran yang dinanti-nantikan hari ini yang menekankan aspirasi syarikat yang semakin meningkat untuk berkembang di negara yang juga diharapkan berpotensi menjadi hab pembuatan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook bergambar bersama kira-kira 100 peminat Apple yang berbaris di luar kedai seluas 20,000 kaki persegi di ibu negara kewangan India, Mumbai, dengan reka bentuknya diilhamkan oleh ikon teksi hitam-kuning yang unik di bandar tersebut.
Cawangan kedua akan dibuka pada Khamis di ibu negara, New Delhi.
Syarikat teknologi itu telah beroperasi di India selama lebih 25 tahun, menjual produknya melalui peruncit sah dan laman web yang dilancarkan beberapa tahun lalu.
Namun sekatan kawal selia dan wabak telah menangguhkan rancangannya untuk membuka kedai utama.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P14-2A-paper-web_19042023.jpg)
Kedai-kedai baharu itu merupakan petanda jelas komitmen syarikat untuk melabur di India, pasaran telefon pintar kedua terbesar di dunia di mana jualan iPhone terus meningkat, kata penganalisis di Convergence Catalyst, Jayanth Kolla, sebuah firma perundingan teknologi.
“Cawangan itu menunjukkan betapa pentingnya India pada masa kini dan masa depan syarikat,” tambahnya.
Bagi syarikat yang berpangkalan di Cupertino, California, saiz India yang besar menjadikan pasaran amat menggalakkan.
“Kira-kira 600 juta daripada 1.4 bilion penduduk India mempunyai telefon pintar, yang bermakna pasaran masih kurang ditembusi dan prospek pertumbuhan adalah besar,” kata Neil Shah, naib presiden penyelidikan di firma penyelidikan pasaran teknologi, Counterpoint Research. – AP