Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple kehilangan ‘status’ dalam pasaran China

    BEIJING, 16 JAN – Apple kehilangan status sebagai jenama telefon pintar terlaris dalam pasaran utama China tahun lalu, menurut data baharu yang dikeluarkan hari ini, dengan dua pesaing jenama negara itu berjaya mengatasinya melalui peningkatan penghantaran yang mendadak.

    Syarikat gergasi teknologi yang berpangkalan di California itu memperoleh 15 peratus bahagian pasaran dalam ekonomi kedua terbesar dunia, di belakang Huawei dengan 16 peratus dan Vivo yang menduduki tangga teratas dengan 17 peratus, berdasarkan data daripada penyedia industri, Canalys.

    Oppo dan Honor, dua jenama China lain, juga mencatatkan 15 peratus bahagian pasaran, namun jumlah jualan telefon pintar mereka sedikit di belakang Apple, menurut data tersebut.

    Prestasi Apple di China dilihat terjejas akibat kemerosotan jualan iPhone, yang menyusut kepada 42.9 juta unit pada 2024, berbanding 51.8 juta unit yang memimpin pasaran pada tahun sebelumnya.

    “Persaingan sengit telah menyebabkan landskap pasaran berubah secara berterusan,” kata Pengurus Penyelidikan Canalys, Amber Liu, sambil menambah bahawa Apple “berdepan tekanan persaingan yang semakin meningkat daripada peranti flagship tempatan.”

    Jenama Vivo yang menduduki tempat pertama menunjukkan ‘momentum yang kukuh’ pada tahun lalu, kata Liu, sambil menambah bahawa strategi syarikat itu membantu mereka ‘mengukuhkan kedudukan dalam segmen permulaan hingga pertengahan dan tinggi.’

    Dalam masa yang sama, Huawei, gergasi teknologi yang berpusat di Shenzhen, terus mencatatkan kebangkitan di pasaran domestik pada 2024.

    Syarikat itu sebelum ini menjadi sasaran sekatan ketat Washington atas dakwaan keselamatan negara. – AFP

    Seorang pengunjung menggerakkan tangannya untuk mengaktifkan skrin Huawei Mate XT, di sebuah kedai Huawei di Beijing pada 10 September 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda