SAN FRANCISCO, 29 OKT – Apple kelmarin telah melancarkan set pertama ciri kecerdasan buatan (AI), yang digelar Apple Intelligence, merentasi peranti iPhone, iPad dan Mac premiumnya, menandakan dorongan utama gergasi teknologi itu ke dalam AI generatif.
Keluaran yang pertama kali dipratonton oleh syarikat itu pada bulan Jun, menandakan kemasukan Apple ke dalam persaingan AI yang telah menyaksikan gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) berlumba-lumba ke arah teknologi gaya ChatGPT.
Google, Microsoft, Amazon dan Apple yakin kuasa AI generatif adalah perkara baharu dalam pengkomputeran dan ia telah meningkatkan perbelanjaan supaya tidak ketinggalan.
“Apple Intelligence adalah AI generatif di mana ia hanya boleh disampaikan oleh Apple, dan kami sangat teruja dengan keupayaannya untuk memperkayakan kehidupan pengguna kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, dalam catatan blog.
Ciri baharu Apple termasuk alat penulisan, keupayaan carian gambar yang dipertingkatkan dan pembantu maya, Siri, yang lebih banyak berbicara.
Syarikat itu juga merancang untuk menyepadukan keupayaan ChatGPT ke dalam perkhidmatannya menjelang Disember.
Ciri tambahan yang dirancang untuk bulan Disember termasuk keupayaan untuk menjana emoji dan mencipta imej daripada penerangan teks.
Ciri tersebut merupakan sebahagian besarnya terhad kepada iPhone dan iPad terkini termasuk komputer Mac.
Kuasa Apple Intelligence buat masa ini hanya tersedia dalam bahasa Inggeris AS.
Versi dalam bahasa Cina, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Korea dan bahasa lain akan dikeluarkan pada tahun akan datang. – AFP