Apple lancar iPhone 12 di Korea S 30 Oktober

SEOUL, 18 OKT – Apple Inc akan melancarkan telefon pintar baharunya, iPhone 12, di Korea Selatan akhir bulan ini, bertujuan menarik lebih ramai pengguna di negara ini menerusi telefon bimbit pertamanya yang dilengkapi 5G, lapor agensi berita Yonhap.

Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu kelmarin melancarkan empat model siri iPhone 12 – iPhone 12 Mini (5.4 inci), iPhone 12 (6.1 inci), iPhone 12 Pro (6.1 inci) dan iPhone 12 Pro Max (6.7 inci).

Apple berkata iPhone 12 dan iPhone 12 Pro akan mula dijual di Korea Selatan pada 30 Oktober, seminggu selepas syarikat melancarkan produk itu di negara terpilih termasuk AS, Britain, Jerman, China dan Jepun. – Bernama