Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Apple lancar Iphone 14 pada harga sama

    CUPERTINO, AMERIKA SYARIKAT, 8 SEPT – Barisan terbaharu produk iPhone Apple akan menampilkan kamera yang lebih canggih, pemproses yang lebih pantas dan bateri yang tahan lebih lama, semuanya pada harga yang sama seperti model tahun lepas, walaupun tekanan inflasi yang telah meningkat menyebabkan kos banyak barangan harian yang lain melambung tinggi.

    Dalam beberapa siri pengeluaran produk iPhone terdahulu, Apple kebanyakannya membuat penambahbaikan pada kamera dan jangka hayat bateri telefon pintar itu. Begitu juga dengan produk terbaharu yang diperkenalkan semalam. Harga untuk iPhone 14 standard akan bermula pada AS$799, manakala iPhone 14 Pro Max akan bermula pada AS$1,099.

    Keupayaan Apple untuk mengekalkan harga iPhone mencerminkan kejayaan dan faedah mempelbagaikan rantaian bekalan ke India selepas China tetap dengan dasar sifar toleransi COVID yang mengehadkan pengeluaran di sana, menurut seorang penganalisis di Canalys, Le Xuan Chiew.

    iPhone 14 Plus diperkenalkan dalam skrin gergasi 6.7 inci yang menawarkan pengalaman yang lebih baik semasa bermain permainan atau menonton video.

    Antara penambahbaikan terkini ialah kamera 48-megapiksel dalam model Pro dan Pro Max yang dikatakan mampu menghasilkan gambar yang jelas, berbanding versi iPhone 13 Pro dan Pro Max yang mempunyai kamera 12-megapiksel. Model terbaru itu juga akan mempunyai paparan sentiasa hidup yang kekal menyala walaupun peranti dikunci, ciri yang telah lama tersedia pada banyak telefon pintar yang dikuasakan oleh perisian Android Google.

    Bermula bulan November depan, semua model iPhone 14 akan dapat menghantar isyarat kecemasan kod Morse (S.O.S.) melalui ciri satelit baharu iaitu langkah keselamatan yang bertujuan membolehkan pengguna meminta bantuan apabila berada di kawasan terpencil tanpa sambungan Wi-Fi.

    Semua model iPhone 14 juga akan menyertakan sensor penggerak yang mampu mengesan kemalangan kereta yang serius dan menyambung kepada perkhidmatan kecemasan secara automatik.

    Dengan kadar inflasi masih pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun, pengguna telah mengawal perbelanjaan mereka. Hal tersebut berkemungkinan boleh menyumbang kepada kemerosotan jualan telefon pintar baru-baru, walaupun Apple merekodkan keuntungan yang jauh lebih baik daripada peranti Android.

    Dengan mengekalkan harga iPhone sama, Apple berpotensi menghadpai risiko yang mampu menjejaskan keuntungannya jika kadar inflasi terus melambung tinggi. Apple berjaya rekod keuntungan AS$44 bilion sepanjang separuh pertama tahun ini.

    Syarikat itu juga melancarkan Apple Watch Ultra berharga AS$800, yang termasuk bateri dengan jangka hayat yang cukup untuk atlet tegar dalam melengkapkan maraton berpanjangan” menurut kenyataan akhbar Apple. – AP/AFP

    iPhone 14 Pro dipaparkan semasa acara pelancaran produk baharu di Apple Park di Cupertino, California. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...