Apple lancar iPhone baharu

SAN FRANCISCO, 15 SEPT – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook melancarkan video yang dihasilkan dengan sempurna semalam bagi pelancaran iPhone baharu, memberi bayangan mengenai masalah luar biasa yang dihadapi oleh syarikatnya termasuk pengembalian polisi, serangan ‘spyware’ dan pertikaian undang-undang.

Dari auditorium kosong dan gelap, Cook memberi penerangan mengenai kamera yang ditingkatkan, skrin yang lebih cerah dan ciri baharu untuk bebe-rapa peranti gergasi Silicon Valley yang lain seperti iPad.

“Ini adalah iPhone terbaik yang pernah kami hasilkan,” kata Cook, sambil menjelaskan usaha Apple merancang dan menghasilkan produk dan perkhidmatan terbaik bagi memperkayakan kehidupan pengguna.

Namun, beberapa masalah yang memuncak menjadi perbincangan umum mengenai salah satu syarikat paling berharga di dunia itu.

Ia susulan pertikaian yang berlarutan terhadap pasaran aplikasi dalam taliannya, yang mana minggu lalu seorang hakim mengarahkan Apple membenarkan pembangun produk untuk mengetepikan komisen besar dalam pembelian.

Semalam, pihaknya terpaksa melakukan pembaikan segera selepas penyelidik keselamatan siber menemui kelemahan yang membolehkan perisian risikan Pegasus menjangkiti peranti Apple dan mengklik mesej berbahaya.

Rangkaian iPhone 13 merangkumi empat model, dari versi Mini hingga Pro Max, dengan harga yang sama dengan iPhone 12 yang dilancarkan tahun lalu.

Kamera dan bateri iPhone 13 lebih kuat dan tahan lama, dan keupayaan 5G akan diperluas ke lebih daripada 200 pengendali mudah alih di 60 buah negara dan wilayah pada akhir tahun ini. – AFP

Kelihatan di skrin peranti CEO Apple Tim Cook semasa memperkenalkan telefon pintar iPhone 13 baharu pada acara maya yang diadakan untuk mengumumkan produk Apple baharu di La Habra, California. – AP