WASHINGTON, 29 OGOS – Apple membuat kenyataan maaf bagi pembantu digitalnya, Siri, kerana mengongsikan beberapa perbualan yang didengar oleh kakitangan kawalan kualiti apabila ia mendedahkan beberapa peraturan baharu bagi menangani data daripada perbualan.
Di bawah perubahan itu, Apple akan membenarkan kakitangannya untuk menilai semula perbualan hanya daripada pelanggan yang memilih ‘Siri grading’, program bagi meningkatkan teknologi pengecaman suara.
Apple juga akan memadam mana-mana rakaman yang digunakan bagi program itu. “Kami sedar bahawa kami tidak mencapai tahap ideal kami, dan untuk itu kami meminta maaf, ” kata Apple dalam satu kenyataan.
“Kami memutuskan untuk membuat beberapa perubahan ke atas Siri disebabkan adanya kebimbangan yang diutarakan mengenai program tersebut,” tambah syarikat itu.
“Matlamat kami dengan Siri adalah untuk memberikan pengalaman terbaik untuk para pelanggan kami sambil melindungi privasi mereka.”
Transkrip yang dijana komputer juga akan masih digunakan bagi mengasah kemampuan perisian itu untuk memahami apa yang orang katakan dan maksudkan, jelas syarikat tersebut.
Jika para pelanggan memilih untuk menyertai program itu, hanya kakitangan Apple sahaja dibenarkan untuk mendengar sampel audio perbualan dengan Siri. – AFP