SAN FRANCISCO, 20 FEB – Apple kelmarin memperkenalkan model iPhone 16e yang lebih berpatutan, dalam usaha syarikat itu untuk menghidupkan semula jualan peranti ikoniknya.
Apple mengumumkan bahawa iPhone 16e dilengkapi dengan pelbagai ciri yang terdapat pada model-model iPhone yang lebih mahal, termasuk ciri kecerdasan buatan yang disesuaikan oleh Apple dan integrasi dengan ChatGPT OpenAI.
“iPhone 16e menggabungkan ciri-ciri yang disukai pengguna tentang rangkaian iPhone 16, termasuk hayat bateri yang luar biasa, prestasi pantas yang dikuasakan oleh cip A18 generasi terkini, sistem kamera 2-dalam-1 yang inovatif dan Apple Intelligence,” kata Naib Presiden Pemasaran Produk iPhone Global Apple, Kaiann Drance dalam satu kenyataan.
iPhone 16e dijual pada harga AS$599 di Amerika Syarikat (AS), berbanding dengan AS$799 untuk iPhone biasa dan akan mula tersedia pada 28 Februari, menurut Apple.
Nama iPhone 16e jelas merujuk kepada siri iPhone SE yang pernah dilancarkan hingga tahun 2022, yang bertujuan untuk pengguna dengan belanjawan lebih rendah.

Selain cip komputer buatan sendiri, iPhone 16e akan menjadi model pertama yang menggunakan modem C1 buatan Apple untuk sambungan tanpa wayar. Sebelumnya, Apple bergantung pada Qualcomm yang berpusat di California untuk modem iPhone.
Kehadiran iPhone mampu milik itu muncul ketika Apple berusaha untuk merangsang jualan di tengah persaingan sengit, terutamanya di China. Apple melaporkan pendapatan sebanyak AS$124.3 bilion pada suku akhir tahun percutian, tetapi pertumbuhan jualan tidak mencapai jangkaan pasaran.
Pertumbuhan pendapatan didorong oleh unit perkhidmatan dan kandungan digital Apple, manakala jualan iPhone merosot di pasaran seperti tanah besar China.
Syarikat itu berharap agar pelanggan tertarik dengan model iPhone baharu yang diperkaya dengan kuasa kecerdasan buatan (AI) Apple Intelligence.
Bersama Apple, gergasi teknologi lain seperti Google, Microsoft dan Amazon yakin bahawa AI generatif adalah bab seterusnya dalam pengkomputeran dan sedang meningkatkan perbelanjaan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan. – AFP