SAN FRANCISCO, 8 JUN – Tekanan tertumpu kepada syarikat gergasi, Apple untuk menunjukkan keajaibannya walaupun gagal meningkatkan iPhone dengan kecerdasan buatan generatif (GenAI) ketika persaingan teknologi semakin sengit.
Apple akan menyiarkan rancangan untuk peranti dan perisian baharu dalam Persidangan Pembangun Seluruh Dunia (WWDC) tahunan yang bermula esok di Silicon Valley.
Acara berkenaan diadakan setahun selepas Apple berkata satu set ciri AI yang digelar ‘Apple Intelligence’ akan dipasang pada iPhone, termasuk penambahbaikan pembantu suara Siri yang menerima banyak kritikan.
“Apple telah iklankan banyak ciri-ciri seolah-olah ia akan tersedia, (tetapi) ia tidak berlaku,” kata seorang penganalisis Emarketer, Gadjo Sevilla.
Sebaliknya, Apple menangguhkan pelancaran peningkatan Siri, dengan harapan bahawa ia akan tersedia dalam masa untuk keluaran iPhone seterusnya.
“Saya tidak fikir akan ada pengumuman besar semasa WWDC nanti,” kata penganalisis itu kepada AFP. “Ia mungkin lebih kepada cara untuk Apple memulihkan kredibiliti dengan menunjukkan ke mana arah tuju mereka.”
“Apple seolah-olah memandang rendah peralihan AI, kemudian ciri yang dijanjikan secara berlebihan dan kini, ia berlumba-lumba untuk mengejarnya,” Gene Munster dan Brian Baker dari Deepwater Asset Management menulis dalam nota pratonton WWDC.
Khabar angin juga termasuk cakap-cakap bahawa Apple mungkin menambah perkongsian GenAI dengan Google atau Perplexity kepada perikatan OpenAI yang diumumkan setahun lalu.
Memandangkan AI dimasukkan ke dalam perisian Apple, syarikat itu mungkin perlu memberikan lebih banyak keupayaan kepada pembangun untuk menyegerakkan aplikasi ke platform, menurut penganalisis Creative Strategies, Carolina Milanesi.
“Mungkin dengan ledakan AI, ini adalah kali pertama Apple perlu memikirkan semula ekosistem terbuka berbanding tertutup,” kata Milanesi.
Menghangatkan lagi WWDC ialah pereka di sebalik iPhone, Jony Ive telah sertai pembuat ChatGPT, OpenAI untuk mencipta peranti saingan yang berpotensi untuk terlibat dengan AI.
“Ia membuatkan Apple perlu berwaspada kerana pereka utama untuk produk paling popular awda mengatakan ada sesuatu yang lebih baik daripada iPhone,” kata Sevilla.
Walaupun WWDC lazimnya merupakan acara yang memfokuskan perisian, Apple mungkin mendedahkan perkakasan baharu untuk menunjukkan ia masih berinovasi. – AP
