Sejak menutup aurat dua tahun lalu, pelakon Aprena Manrose memberitahu hatinya pernah berbolak-balik untuk kembali kepada imej lama.
Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 30, berkata, salah satu punca imannya turun naik ialah disebabkan pengaruh media sosial.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur Allah menetapkan imannya yang turun naik selain mendapat sokongan dan doa daripada suami serta keluarga agar terus istiqamah.
“Pernah ada rasa berbolak-balik hati itu (membuka tudung). Tapi doa keluarga, suami yang membuatkan saya kuat.
“Saya nak cakap lebih pun tidak berani sebab ini isu yang sensitif.
“Kalau tiba-tiba nampak saya tidak bertudung itu, maksudnya tidak bertudunglah. Kalau masih berhijab, Alhamdulillah masih kuat lagi,” katanya kepada mStar.
Aprena berkongsi perkara itu ketika ditemui di Pelancaran Millefleur x Wanna Ali di Royale Chulan, Damansara pada Selasa.
Ditanya mengenai perkembangan semasa saudaranya, Nelydia Senrose yang didakwa sudah tidak lagi bertudung, Aprena bagaimanapun tidak mahu memberikan ulasan lanjut berkenaan perkara itu.
“Tiada sebarang komen. kita tidak mahu menjaga tepi kain orang.
“Saya sokong apa sahaja dia punya keputusan. Itu hak masing-masing. Kita sebagai keluarga, doakan sahaja,” ujarnya.
Dalam masa sama, Aprena turut menjelaskan dakwaan yang menyatakan Nelydia kembali tidak bertudung disebabkan menurut gambar profil di Instagram.
Jelasnya, gambar tersebut merupakan gambar lama yang tidak pernah ditukar oleh pelakon berumur 29 tahun itu. – Agensi