Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    APT tekad tangani ketidaktentuan global

    KUALA LUMPUR, 13 JULAI – Negara-negara ASEAN Campur Tiga (APT) mengulangi komitmen teguh untuk memperdalam integrasi ekonomi serantau dan mengekalkan sistem perdagangan multilateral berasaskan peraturan, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global yang semakin meningkat.

    Menurut kenyataan Pengerusi ASEAN yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar APT ke-26 di Kuala Lumpur, kalangan menteri menyambut baik penerimaan Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai Tindak Balas terhadap Ketidaktentuan Ekonomi dan Perdagangan Global.

    Mereka mengesahkan keazaman untuk memberikan dorongan bermakna dalam memberikan respons kepada cabaran perdagangan semasa, menyokong pembaharuan yang diperlukan bagi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan memajukan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

    Mesyuarat itu turut menekankan keperluan untuk memajukan atau menaik taraf perjanjian perdagangan bebas dengan rakan luar, memperkukuh keteguhan daya tahan rantaian bekalan dan memaksimumkan penggunaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

    Menteri-menteri mengalu-alukan kemajuan dalam pelaksanaan Perjanjian RCEP dan pengoperasian Unit Sokongan RCEP, yang menawarkan sokongan institusi untuk mempertingkat penggunaan perjanjian oleh sektor swasta terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana. – Bernama

    Forum Serantau ASEAN ke-32 berlangsung pada 11 Julai bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda