Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Pasukan Ar Rawda Academy (B) dan Almerez Hitune FC masing-masing dinobatkan sebagai juara bagi Kategori Bawah 12 Tahun (B12) dan Bawah 16 Tahun (B16) dalam Kejohanan Al-Mujaahidun FA sempena Hari Kebangsaan ke-41 (HK-41) yang berlangsung baru-baru ini.
Bagi Kategori B12, tempat kedua disandang oleh pasukan COT JPKK, manakala tempat ketiga diraih oleh Ar Rawda Academy (A).
Sementara itu, dalam Kategori B16, pasukan El-Mago FT menduduki tempat kedua, diikuti oleh Panchor Murai FC di tempat ketiga.
Anugerah individu turut diberikan kepada pemain yang cemerlang sepanjang kejohanan.
Anugerah Penjaga Gawang Terbaik bagi Kategori B12 dimenangi oleh Muhamad Rafiqi Luthifillah bin Haji Mohd Shamsul Dilah daripada pasukan Ar Rawda Academy.
Pemain Terbaik dianugerahkan kepada Mohd Zainul Ashraff bin Mahdinee daripada pasukan COT JPKK, manakala Abdul Raqib Basyeer Abdullah daripada Ar Rawda Academy (B) muncul sebagai Penjaring Terbanyak.
Selain itu, dua pemain berbakat turut menerima pengiktirafan dalam kejohanan tersebut. Adam Ukaasya Al-Hamiidy bin Mohd Ali daripada pasukan Al-Mujaahidun (A) dan Awangku Muhd Atif bin Pengiran Laila Khalid daripada Ar Rawda Academy (B) masing-masing dianugerahkan sebagai Pemain Berpotensi.
Bagi Kategori B16, anugerah Penjaga Gawang Terbaik diberikan kepada Md Zulkifli@ Shahminan bin Awang Herman daripada pasukan Almerez Hitune FC. Pemain Terbaik pula disandang oleh Harith Aqil bin Azaman daripada pasukan Almerez Hitune FC.
Pemain El-Mago FT, Ezz El Din bin Ayman, menerima dua anugerah iaitu Penjaring Terbanyak serta Pemain Berpotensi. Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd Nazirul Hakimi Bin Mohd Nazmi, turut menerima anugerah Pemain Berpotensi.
