Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Ara pertaruhkan Pasti Tiba

    Selepas berdepan masalah sakit tekak selama dua bulan, penyanyi genit bersuara lantang, Ara Johari, 25, enggan membuang masa menunggu tempoh yang lama untuk tampil dengan single baharu.

    Mempertaruhkan single berjudul Pasti Tiba, karya ciptaan Sharon Paul dan penulis lirik terkenal, Fedtri Yahya terbitan Rocketfuel Entertainment itu juga menjadi lagu runut bunyi untuk drama Jesnita sebanyak 40 episod yang ditayangkan di Astro Prima baru-baru ini.

    “Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih buat peminat hadir ketika persembahan A Night With Ara Johari. Saya terharu dengan respon sangat positif termasuk sokongan rakan artis.

    “Saya bersyukur ramai mendoakan kesihatan saya kerana mengalami sakit tekak sehingga menjejaskan tumpuan untuk beraksi, namun saya tetap gagah mengharungi juga.

    “Terima kasih kepada peminat yang datang memberikan semangat kepada saya.

    Enggan membuang masa menunggu tempoh yang lama, Ara tampil dengan single baharu. – Agensi

    Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik selepas dua bulan mengalami sakit tekak yang teruk,” katanya kepada media.

    Selain single baharu, pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari itu berkata, dia kini dalam proses mengembangkan perniagaan makanan diusahakannya.

    “Saya sedang sibuk merencanakan sesuatu besar untuk Ara Kitchen, namun masih belum masanya untuk dikongsi lagi.

    “Namun begitu, bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan. Inilah buktinya apabila single Pasti Tiba diperdengarkan.

    “Sebelum ini, saya meluncurkan single Sumpahan Salju yang lari daripada genre kebiasaan saya. Namun, tetap diterima dengan baik,” katanya.

    Berkongsi idea menghasilkan single Pasti Tiba, Ara berkata, ia datangnya daripada Sharon sendiri.

    Penyanyi yang popular menerus lagu Warkah Untukku dan Bunga itu berkata, penulis lirik memberitahunya, single Pasti Tiba mengisahkan seorang kekasih yang setia dan memberi sepenuh cintanya, namun diduga dengan kecurangan.

    “Apabila janji dimungkiri, kekecewaan dan hilang harapan pastinya menyelubungi diri. Mungkin kita juga seakan tidak tahu untuk bertindak.

    “Akhirnya, kena berserah kepada Tuhan kerana yakin dengan hikmah di sebaliknya. Takdir dan balasan hanya milik Yang Maha Kuasa, jadi kesabaran menjadi penguat hati ketika menempuh episod sedih dalam cinta tak kesampaian,” jelas Ara.

    Single pop bernuansa slow ballad itu sememangnya forte Ara sejak dahulu dan berjaya menjiwai setiap bait lirik yang pasti menikam kalbu, lontaran mood suara menambah rasa sedih apabila berdepan kecurangan. – Agensi

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...