Arab Saudi akan terus bantu Yaman

JEDDAH, 1 MAC – Arab Saudi akan terus membantu rakyat Yaman bagi meminimumkan kesengsaraan yang dihadapi di Yaman, yang disifatkan sebagai bencana kemanusiaan terbesar di dunia.

Penyelia Umum Pusat Bantuan Kemanusiaan dan Pemindahan King Salman (KSrelief), Dr.Abdullah Al Rabeeah berkata, pusat itu sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan lain yang terlibat dalam gerakan dan bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Kami telah sampai di setiap wilayah di Yaman. Malahan kami berinovatif di kebanyakan wilayah dan mendapat cara baharu untuk menghampiri pewaris.

“Keutamaan kami di Yaman bagi menyalurkan keperluan dan kami akan sampaikannya walau di mana sekalipun ia diperlukan,” katanya pada taklimat ringkas sebelum bermulanya Forum Kemanusiaan Antarabangsa  Jeddah kedua di sini, Sabtu.

Dilaporkan Yaman kini berada di ambang kebuluran, dan dalam beberapa bulan akan datang, beratus-ratus orang dijangka mati akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Dr Abdullah menjelaskan bahawa pusat itu akan terus menyediakan bantuan yang terbaik kepada Yaman malah pada waktu bulan Ramadan akan datang dan penularan COVID-19 dengan dibantu dan atas nasihat rakan-rakan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, bukan sahaja Yaman, inisiatif kemanusiaan ini juga akan melibatkan pelarian di seluruh dunia seperti Syria dan Afrika kerana terdapatnya keperluan mendesak bagi sokongan yang lebih terhadap  kanak-kanak dan wanita yang mendiami kawasan krisis atau penempatan sementara.

Mengenai forum berkenaan, Dr Abdullah berkata, acara itu dapat mengumpul para pemimpin yang berpengalaman dan berpengaruh dalam isu kemanusiaan sejagat bagi membincangkan cabaran yang dihadapi bagi langkah-langkah kemanusiaan di samping memperbaiki pengetahuan dan isu cadangan untuk tindakan.

Beliau berkata, forum itu akan mengkaji semula inisiatif kemanusiaan agar ia dapat mencerminkan perkembangan terbaharu di lapangan yang seterusnya boleh memperbaiki tahap perkhidmatan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa bencana semula jadi dan konflik. – Bernama