KAHERAH, 21 FEB – Arab Saudi bakal menganjurkan sidang kemuncak peringkat tertinggi pada hari ini bagi membincangkan usaha pembinaan semula Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pemimpin dari Mesir, Jordan dan negara Teluk Arab dijangka akan menghadiri mesyuarat di Riyadh itu. Sidang kemuncak tersebut akan menumpukan kepada cadangan Mesir untuk membangunkan semula wilayah yang musnah itu di bawah ‘pengawasan sepenuhnya’ negara-negara Arab.
Ketegangan semakin meningkat susulan cadangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan secara tetap dua juta penduduk Gaza ke negara-negara Arab yang berdekatan.
Cadangan itu ditolak keras oleh Mesir, Jordan dan kuasa serantau lain yang menganggapnya sebagai satu pencabulan terhadap kedaulatan Palestin.
Sebagai tindak balas, Mesir meneruskan rancangannya untuk membangunkan semula Gaza bagi menghalang AS dan Israel daripada melaksanakan agenda pemindahan tersebut.
Banyak persoalan masih belum terjawab mengenai masa depan Gaza, terutamanya berhubung pihak yang sepatutnya mengawal kawasan itu dan bertanggungjawab ke atas keselamatannya.
Israel menolak kedua-dua kemungkinan tersebut sama ada Gaza terus ditadbir oleh pertubuhan Palestin iaitu Hamas, atau dikawal oleh Pihak Berkuasa Palestin. – Bernama
