Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi diiktiraf sebagai sekutu utama bukan NATO AS

    WASHINGTON, 19 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin berkata dia sedang menaik taraf hubungan dengan Arab Saudi dengan mengiktiraf kerajaan itu sebagai sekutu utama bukan NATO AS, lapor agensi Anadolu (AA).

    “Saya berbesar hati mengumumkan bahawa kita sedang membawa kerjasama ketenteraan kita ke tahap lebih tinggi dengan secara rasmi mengiktiraf Arab Saudi sebagai sekutu utama bukan NATO, sesuatu yang sangat penting bagi mereka,” kata Trump ketika menjadi hos kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada majlis makan malam rasmi di Rumah Putih.

    “Saya beritahu awda buat pertama kali malam ini kerana mereka mahu ia menjadi sedikit kejutan… Itu satu lagi kejayaan awda hari ini, selain menandatangani perjanjian pertahanan strategik bersejarah yang baru sahaja kita tandatangani sebentar tadi. Jadi tahniah,” kata Trump, disambut tepukan gemuruh.

    Sekutu utama bukan NATO menikmati beberapa faedah kerjasama pertahanan, termasuk penyertaan dalam program penyelidikan dan pembangunan bersama dengan Pentagon serta akses istimewa kepada persenjataan, latihan dan pinjaman ketenteraan AS.

    Antara negara lain yang berstatus sekutu utama bukan NATO ialah Bahrain, Colombia, Mesir, Israel, Jepun, Kenya, Pakistan, Qatar, Korea Selatan dan Tunisia.

    Pengiktirafan itu tidak memberikan jaminan keselamatan, namun Rumah Putih sebelum ini berkata bahawa Trump dan Putera Mahkota telah menandatangani perjanjian pertahanan strategik yang ‘mengukuhkan kerjasama pertahanan lebih 80 tahun dan memperkukuh keupayaan pencegahan di seluruh Asia Barat.’

    Tidak jelas sama ada aspek pencegahan itu merangkumi jaminan bahawa AS akan mempertahankan Arab Saudi sekiranya negara itu diserang.

    Rumah Putih tidak memberikan ulasan segera mengenai perkara itu. – Bernama

    Donald Trump berjabat tangan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, semasa makan malam rasmi di Bilik Timur, Rumah Putih, Washington, DC pada 18 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda