MEKAH, 2 JUN – Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Kementerian Kesihatan Arab Saudi berjaya memendekkan masa penghantaran ubat ke lokasi-lokasi haji daripada lebih sejam kepada hanya enam minit menerusi penggunaan dron.
Langkah inovatif berkenaan merupakan satu lonjakan penting dalam mempertingkat logistik penjagaan kesihatan dan memastikan sokongan perubatan dapat disalurkan dengan segera kepada jutaan jemaah.
Sebelum ini, penghantaran ubat ke lokasi-lokasi tertentu semasa haji boleh mengambil masa sehingga sejam 20 minit. Namun, dengan penggunaan dron pada tahun ini, masa tersebut dapat dikurangkan kepada hanya enam minit.
“Peningkatan teknologi ini benar-benar mengubah keadaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelantikan & Rujukan Perubatan Arab Saudi Prof Dr Nawfal Aljerian, semasa lawatan media asing ke pusat berkenaan di Mina baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa inisiatif tersebut selari dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan semasa musim haji.
Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan ini beroperasi 24 jam sehari dan menyepadukan data masa nyata daripada pelbagai hospital, klinik dan perkhidmatan ambulans.
Segala maklumat disalurkan secara langsung menerusi sistem elektronik seperti Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Sistem Maklumat Hospital (HIS), membolehkan pasukan perubatan membuat keputusan yang pantas dan tepat.
“Ini adalah sistem digital sepenuhnya yang disepadukan secara menyeluruh,” jelas Dr Nawfal.
“Setiap penyedia perkhidmatan daripada Kementerian Kesihatan kepada Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah hingga rakan kongsi kesihatan swasta, semuanya dihubungkan. Kehadiran mereka dalam satu bilik, pada masa yang sama, membolehkan keputusan dibuat secara terselaras dan pantas.”
Sehingga 1 Jun, kementerian melaporkan lebih 81,000 perkhidmatan kesihatan telah diberikan kepada jemaah sejak permulaan musim haji bagi tahun 1446 Hijrah.
Pusat tersebut turut menyokong pemantauan kesihatan awam, penilaian risiko dan tindakan segera apabila diperlukan.
Selain itu, jemaah boleh menghubungi nombor tempatan 97 untuk pertanyaan kesihatan dan akan disambungkan terus kepada perkhidmatan yang paling sesuai.
Pusat Operasi Keselamatan Bersepadu (911), yang bekerjasama rapat dengan kementerian, menjawab panggilan dalam masa kurang dua saat dan menghantar laporan kepada pasukan pakar dalam tempoh 45 saat.
Sistem ini mampu mengendalikan panggilan dalam hampir semua bahasa utama dunia, memastikan setiap jemaah menerima bantuan tanpa mengira kewarganegaraan.
Usaha komprehensif dan terselaras yang diketuai Kementerian Kesihatan tersebut bertujuan memastikan jemaah mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, memperkukuh kesiapsiagaan sistem pencegahan dan respons pantas serta melindungi kesihatan dan keselamatan semua jemaah.
Perkhidmatan sedemikian merupakan sebahagian daripada visi kesihatan yang lebih luas di bawah Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah – dua inisiatif utama di bawah Visi 2030 Arab Saudi yang menyasarkan perkhidmatan kesihatan cemerlang yang menjamin kesejahteraan dan keselesaan jemaah semasa melaksanakan ibadah.
Sistem kesihatan tersebut terus beroperasi pada kapasiti penuh, berpandukan perancangan proaktif dan rangkaian perkhidmatan berkualiti tinggi yang sepenuhnya bersepadu.
Dengan penggunaan dron, keputusan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan 24 jam, pasukan kesihatan dan keselamatan Arab Saudi menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan inovasi baharu dalam usaha melindungi kesihatan serta keselamatan para jemaah haji. – Bernama



