MEKAH, 8 JUN – Arab Saudi menggunakan teknologi robotik canggih dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong jutaan jemaah Haji pada musim ini, menurut kenyataan Presidensi Am bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Kerajaan mengintegrasikan pelbagai sistem pintar bagi meningkatkan keselamatan, kebolehcapaian dan keberkesanan dalam melaksanakan ibadah, dengan Masjidil Haram di Mekah menjadi pusat utama inovasi ini. Antara kemajuan terkini adalah penggunaan robot generasi kedua Manarat Al-Haramain.
Diletakkan di beberapa lokasi di sekitar masjid dan perkarangan, robot dikuasakan AI ini menawarkan perkhidmatan fatwa secara serta-merta dalam 15 bahasa, memberikan panduan agama masa nyata melalui suara dan teks.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan agar seiring dengan perkembangan transformasi digital global sambil memperkayakan perjalanan rohani para jemaah.
Justeru itu, AI dimanfaatkan untuk meningkatkan komunikasi antara institusi keagamaan dan jemaah yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Selain panduan agama, robotik juga digunakan untuk menambah baik penjagaan kesihatan dan logistik perkhidmatan di tanah suci.
Di Pusat Perubatan Raja Abdullah di Mekah, Kementerian Kesihatan memperkenalkan robot pembedahan yang mampu melakukan prosedur urologi, onkologi, toraks dan gastrousus yang kompleks. – Bernama
