MEKAH, 2 JUN – Kerajaan Arab Saudi menghalang lebih 269,000 individu yang tidak memiliki permit sah daripada memasuki Mekah untuk menunaikan ibadah Haji, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelmarin, sebagai sebahagian daripada tindakan tegas terhadap jemaah tanpa kebenaran.
Pihak berkuasa menyalahkan kesesakan melampau semasa musim Haji terhadap kehadiran jemaah tidak berpermit. Mereka turut menyatakan bahawa ramai mangsa yang terkorban dalam cuaca panas melampau tahun lalu merupakan individu tanpa permit sah.
Jumlah pengusiran itu menyerlahkan betapa besarnya skala pencerobohan ibadah secara haram dan dalam masa yang sama, menunjukkan betapa tingginya permintaan untuk menunaikan Haji. Ketika ini, terdapat 1.4 juta jemaah yang berada secara rasmi di Mekah, dengan jumlah itu dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang.
Pihak berkuasa mengenakan denda sehingga AS$5,000 serta hukuman lain termasuk pengusiran kepada sesiapa yang menunaikan Haji tanpa permit. Dasar itu turut diguna pakai kepada warganegara Saudi dan mereka yang bermastautin.

Dalam sidang media di Mekah, pegawai mengesahkan bahawa seramai 269,678 individu tanpa permit telah dihalang daripada memasuki kota suci itu. Menurut peraturan semasa, hanya individu yang memiliki permit sah dibenarkan menunaikan ibadah Haji, termasuk penduduk tetap yang tinggal di Mekah sepanjang tahun.
Selain itu, lebih 23,000 penduduk tempatan telah dikenakan hukuman kerana melanggar peraturan Haji dan lesen 400 syarikat Haji telah dibatalkan.
Leftenan Jeneral Mohammed Al-Omari berkata kepada media, “Jemaah berada dalam pengawasan kami dan sesiapa yang melanggar peraturan, berada dalam kawalan kami.” – AP