RIYADH, 26 APRIL – Arab Saudi telah menghapuskan hukuman sebat, kata suruhanjaya hak asasi manusia semalam, mengalu-alu ‘langkah besar’ dalam program pembaharuan yang dilancarkan oleh raja dan putera mahkota negara itu.
Sebatan yang diperintahkan oleh mahkamah di Arab Saudi, ada kalanya dilanjutkan kepada ratusan sebatan, telah lama dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia.
Namun mereka berkata pembaharuan perundangan yang diselia oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah membawa kepada penumpasan penentang negara konservatif Islam itu, termasuk menerusi penggunaan hukuman mati.
Suruhanjaya hak asasi manusia berkata pembaharuan terbaharu, yang dilaporkan oleh media Saudi termasuk akhbar Okaz, akan memastikan pesalah tidak akan dijatuhi hukuman sebat.
“Keputusan ini memastikan pesalah yang sebelumnya dijatuhi hukuman sebat mulai sekarang akan dikenakan denda atau hukuman penjara,” kata pengerusi Awad al-Awad.
Sebelum ini, mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan hukuman sebat ke atas pesalah yang didapati melakukan kesalahan daripada zina dan mengancam ketenteraman kepada pembunuhan.
Pada masa depan, hakim perlu memilih di antara denda dan/atau hukuman penjara, atau hukuman alternatif seperti perkhidmatan kemasyarakatan. – AFP