Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi, Jordan meterai perjanjian AS$3 bilion

    AMMAN, 28 Mac – Arab Saudi dijangka akan menubuhkan dana pelaburan bersama sejumlah AS$3 bilion bagi Jordan, di antara 15 perjanjian kerjasama yang ditandatangani oleh Raja Salman semasa kunjungannya ke Amman, kata media kerajaan hari ini.

    Persetujuan lain termasuk langkah-langkah untuk merangsang janaan kuasa, menangani kekurangan air dan meningkatkan perkhidmatan perumahan dan kesihatan, kata agensi berita rasmi Jordan, Petra.

    Katanya, perjanjian itu meliputi perlombongan uranium dan projek penyahmasinan air dan satu memorandum telah ditandatangani untuk membina stesen tenaga solar bernilai AS$70 juta di sempadan timur Jordan.

    Perjanjian bernilai kira-kira AS$3.5 bilion itu telah ditandatangani pada malam Isnin sejurus selepas ketibaan Raja Salman bagi sidang kemuncak Arab minggu ini, tambah Petra.

    Dengan padang pasir meliputi 92 peratus daripada wilayahnya, kerajaan itu adalah salah satu daripada 10 negara paling kering di dunia dan berhasrat untuk menggunakan tenaga atom untuk mempertenagai loji penyahmasinan bagi mengatasi masalah kekurangan airnya.

    Pemimpin Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud dan Raja Jordan, Abdullah II berada di dalam kereta vintaj semasa majlis menyambut kedatangan baginda di lapangan terbang bandar Amman, Jordan pada 27 Mac menjelang Sidang Kemuncak Liga Arab ke-28. – AFP
    Pemimpin Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud dan Raja Jordan, Abdullah II berada di dalam kereta vintaj semasa majlis menyambut kedatangan baginda di lapangan terbang bandar Amman, Jordan pada 27 Mac menjelang Sidang Kemuncak Liga Arab ke-28. – AFP

    Jordan dikatakan mempunyai simpanan uranium yang mencukupi dan telah memeterai perjanjian selama bertahun-tahun dengan firma-firma asing untuk melombong uranium di rantau tengahnya, sementara juga mempertimbangkan untuk membina loji tenaga nuklear.

    Salah satu usaha sama antara Jordan Energy Resources Incorporated dan syarikat Perancis, Areva, bagaimanapun telah dibatalkan pada 2012, beberapa bulan selepas mereka berkata keseluruhan kandungan uranium di kawasan berlesen itu melebih 20,000 tan.

    Suruhanjaya Tenaga Atom Jordan berkata pada 2012 bahawa sebuah syarikat terkemuka Australia telah menemui sumber uranium di tengah Jordan yang jumlahnya lebih dua kali ganda daripada jumlah yang dinyatakan.

    Pada 2014, akhbar Jordan Times memetik ketua Syarikat Perlombongan Uranium Jordan milik kerajaan, Samer Kahook, sebagai berkata bahawa tengah Jordan memiliki simpanan kira-kira 36,389 tan uranium oksida.

    Negara jiran Arab Saudi adalah salah satu penyokong kewangan utama Jordan.

    Menteri-menteri luar negeri Arab telah menyimpulkan rundingan dua hari di pusat peranginan Sweimeh Laut Mati Jordan hari ini menjelang sidang kemuncak esok. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda