RIYADH, 24 MAC – Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan kemas kini keperluan kesihatan bagi musim Haji 1446H (2025) sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah, selain memperkayakan pengalaman mereka dalam menunaikan ibadah di tanah suci dengan selesa dan selamat, lapor agensi berita Saudi (SPA).
Keperluan yang dikemas kini merangkumi tahap kesihatan yang diperlukan, vaksinasi, langkah pencegahan serta garis panduan umum bagi individu yang datang ke Arab Saudi untuk menunaikan Haji atau bekerja secara bermusim di kawasan ibadah, bagi memastikan persekitaran yang selamat dan sihat untuk jemaah serta petugas.
Kementerian turut menggesa semua bakal jemaah Haji untuk menyemak dokumen keperluan kesihatan menerusi pautan (https://www.moh.gov.sa/en/HealthAwareness/Pilgrims_Health/Pages/default.aspx). – Bernama
