RIYADH, 11 JAN – Arab Saudi, pengeksport minyak mentah utama dunia, semalam, mengumumkan pelancaran bandar eko ‘dengan sifar kereta, jalan raya dan pelepasan karbon’ menerusi projek mega futuristiknya, NEOM.
Projek NEOM bernilai AS$500 bilion dijangka dibina di sepanjang pantai Laut Merah disebut sebagai pembangunan yang menyemarakkan blockbuster fiksyen sains.
Putera Mahkota, Mohammed bin Salman mendedahkan rancangan bagi bandar dikenali ‘THE LINE’, dalam pembentangan disiarkan di televisyen tempatan.
Ia terdiri daripada ‘bandar sejuta penduduk dengan panjang 170 kilometer yang 95 peratus mesra alam di NEOM, dengan sifar kereta, jalan raya dan pelepasan karbon.
“Kita perlu mengubah konsep bandar konvensional kepada futuristik,” tambah pemimpin de facto ekonomi terkemuka dunia Arab, yang sering muncul sebagai antara negara paling mencemarkan dunia.
Putera Mohammed menunjukkan gambar dihasilkan komputer ‘THE LINE’ dan keaslian pemandangan padang pasir dan laut biru.
Menurut kenyataan NEOM, bandar pejalan kaki itu akan dilengkapi perkhidmatan seperti sekolah, pusat kesihatan, ruang hijau dan pengangkutan awam berkelajuan tinggi dengan jangka masa perjalanan kurang 20 minit.
Katanya, Kecerdasan Buatan (AI) akan memainkan peranan penting di bandar itu, selain menjelaskan ‘ia akan digerakkan oleh 100 peratus tenaga bersih, menyediakan persekitaran bebas pencemaran, lebih sihat dan mapan bagi penduduk’. – AFP
