Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi lancar Riyadh Air

    RIYADH, 12 MAC – Arab Saudi hari ini mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan baharu, sebahagian daripada rancangan untuk mengubah Riyadh menjadi hab penerbangan global setanding dengan pemimpin serantau seperti Dubai dan Doha.

    Riyadh Air ‘berhasrat melancarkan penerbangan ke lebih 100 destinasi di seluruh dunia menjelang tahun 2030,’ lapor agensi akhbar Saudi (SPA).

    Negara Teluk itu sedang memburu matlamat penerbangan sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan ‘Wawasan 2030’ Putera Mahkota Mohammed bin Salman, termasuk menambah tiga kali ganda trafik tahunan kepada 330 juta penumpang menjelang akhir dekad.

    Selain itu, ia juga ingin menggerakkan lima juta tan kargo setiap tahun.

    Pada November lalu, pegawai mengumumkan rancangan untuk membina lapangan terbang baharu di ibu negara Riyadh, meliputi kawasan seluas 57 kilometer persegi – yang dijangka menampung 120 juta penumpang setahun menjelang 2030 dan 185 juta penumpang pada 2050.

    Kapasiti lapangan terbang Riyadh sekarang adalah 35 juta penumpang.

    Syarikat penerbangan baharu itu adalah yang terbaharu dalam ‘pakej projek besar’ yang akan ‘menggabungkan kedudukan negara kami sebagai hab antarabangsa untuk penerbangan dan pusat logistik global,’ kata Menteri Pengangkutan Saudi, Saleh Al-Jasser di Twitter.

    Tony Douglas, bekas Ketua Etihad Airways di Abu Dhabi, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, kata SPA.

    Pengumuman hari ini berkata Riyadh Air akan mengendalikan ‘armada pesawat udara canggih’, tetapi tidak menyatakan berapa besar armada atau dari mana sumber akan diperoleh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda