SANAA, 29 JULAI – Pasukan gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas lokasi pemberotak Huthi di Sanaa, Yaman pada petang kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.
Serangan udara itu menyasarkan kem tentera di daerah Kutbayn di Nehm di timur laut Sanaa dan kem di Aroush di daerah Khawlan, tenggara Sanaa.
Bunyi letupan kedengaran sehingga di pusat bandar Sanaa, namun belum ada laporan mengenai sebarang kecederaan atau kematian.
Serangan udara itu dilancarkan beberapa jam selepas pemberontak Huthi mendakwa membedil peluru berpandu balistik dan serangan bom di ibu pejabat gabungan itu yang terletak di bandar sempadan barat daya Najran di Arab Saudi. Namun, tiada sebarang pengesahan dibuat pihak gabungan setakat ini.
Huthi baru-baru ini meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron ke Arab Saudi, bagaimanapun kebanyakan serangan berjaya dipintas dan dimusnahkan tentera kerajaan.
Sejak empat tahun lalu, pasukan gabungan itu telah membantu tentera kerajaan untuk memerangi pemberontak Huthi selain menyokong pemerintahan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. – Bernama