RIYADH, 26 APRIL – Arab Saudi melonggarkan sebahagian sekatan 24 jam yang dikenakan di sesetengah tempat kecuali Mekah.
Perintah berkurung itu akan dilonggarkan sedikit antara jam 9 pagi hingga 5 petang dan pusat beli-belah serta premis perniagaan dibenarkan beroperasi di seluruh negara sehingga 13 Mei nanti, lapor Saudi Press Agency. Namun, sekatan penuh masih dikekalkan di beberapa kawasan termasuk Mekah, yang mencatatkan jumlah kes jangkitan tertinggi beberapa hari ini walaupun tidak dibenarkan sebarang kunjungan.
Selain itu, pihak berkuasa diberi kuasa untuk menentukan sama ada restoran, pawagam, salun kecantikan dan kemudahan lain perlu ditutup jika langkah-langkah pencegahan tidak dipatuhi. Beberapa negara di Timur Tengah dan Afrika Utara mengumumkan kelonggaran bagi memberi peluang orang Islam menunaikan ibadah puasa.
Sehingga kini, Arab Saudi mencatatkan 136 kematian, manakala kes positif COVID-19 mencecah 16,229. Pihak berkuasa juga belum mengumumkan mengenai larangan ibadat haji yang dijadualkan berlangsung Julai nanti, namun menyarankan bakal jemaah supaya menangguhkan persiapan mereka. – AFP