ISTANBUL, 13 MAC – Menteri luar Arab Saudi, Mesir, Qatar, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengadakan rundingan kelmarin di Qatar mengenai sokongan Arab kepada rakyat Palestin, lapor agensi Anadolu (AA).
Mesyuarat yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein Al-Sheikh, bertujuan untuk “menyelaras usaha berkaitan perkembangan isu Palestin,” menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir.
Perbincangan menumpukan kepada ‘cara menyelaraskan pendirian Arab’ dan meneliti hasil sidang kemuncak tergempar Arab baru-baru ini di Kaherah serta mesyuarat luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah mengenai sokongan kepada rakyat Palestin, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut mesyuarat berkenaan membincangkan ‘strategi untuk mempromosi dan mendapatkan pembiayaan bagi pelan pemulihan awal serta pembinaan semula Gaza yang dipimpin oleh Arab-Islam’.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Mesir berkata, “Negara Qatar menjadi tuan rumah bagi satu mesyuarat hari ini yang menghimpunkan beberapa menteri luar Arab, dengan penyertaan Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah, untuk membincangkan perkembangan di Semenanjung Gaza dan rantau ini.”
Menteri luar Arab membentangkan pelan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang telah diluluskan pada Sidang Kemuncak Arab di Kaherah awal Mac, menurut kenyataan kementerian itu. – Bernama
