WASHINGTON, 20 NOV – Presiden Donald Trump kelmarin berkata Amerika Syarikat (AS) akan cuba berusaha tamatkan konflik di Sudan atas permintaan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Baginda mahu saya melakukan sesuatu yang besar berkaitan Sudan. Ia tidak termasuk dalam perancangan saya untuk terlibat dalam hal itu. Saya fikir ia sesuatu yang rumit dan di luar kawalan, tetapi kini saya lihat betapa pentingnya isu ini bagi tuanku dan ramai rakan tuanku di dalam dewan ini,” kata Trump pada forum pelaburan Saudi-AS sehari selepas meraikan kehadiran putera mahkota itu di Rumah Putih.
“Kita akan mula bekerja dalam isu Sudan,” kata beliau.
Pada 4 November, Rumah Putih berkata pentadbiran Trump merupakan sebahagian daripada sekumpulan negara yang berusaha menamatkan keganasan yang melanda Sudan lebih dua tahun setengah. Tidak jelas sama ada kenyataan Trump itu menandakan penekanan semula terhadap usaha berkenaan.
Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) terjerumus dalam peperangan dahsyat sejak 15 April 2023. Konflik itu mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa jutaan orang meninggalkan kediaman mereka.
Setakat ini, RSF menguasai kesemua lima negeri di rantau Darfur di barat Sudan, manakala pasukan tentera mengawal sebahagian besar 13 negeri lain di selatan, utara, timur dan tengah, termasuk ibu negara Khartoum. – Bernama/Anadolu

