Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi, M’sia jadi hab bagi satu sama lain

    KUALA LUMPUR, 28 Feb – Arab Saudi dan Malaysia boleh memanfaatkan lokasi strategik dan kekuatan masing-masing untuk berfungsi sebagai hab dan menjana faedah ekonomi.

    Dr Ghassan Ahmed Al Sulaiman, Gabenor Pihak Berkuasa Perusahaan Kecil dan Sederhana Arab Saudi, berkata Malaysia perlu dianggap sebagai hab oleh syarikat Arab Saudi berikutan ia terletak di lokasi yang strategik di Asia.

    “Malaysia adalah ‘Truly Asia’ manakala Arab Saudi adalah negara penting dalam dunia Islam, kuasa besar dalam pelaburan global dan hab yang menghubungkan tiga benua Asia (barat), Eropah, dan Afrika,” katanya pada Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi di sini hari ini.

    Forum itu diadakan sempena lawatan negara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia.

    Ghassan berkata Arab Saudi mempunyai dua pelabuhan yang besar di Laut Merah dan ia mahu memanfaatkan lokasi logistik dan strategiknya dan juga menjadi hab kepada syarikat Malaysia yang ingin memasuki Asia Barat dan Afrika.

    “Begitu juga Malaysia. Lokasi, kedudukan dan kekuatannya di Asia menjadi tarikan kepada syarikat Arab Saudi yang mahu menjalankan perniagaan atau mewujudkan kemudahan pembuatan di sini untuk pasaran Asia,” katanya.

    Forum itu dihadiri kira-kira 600 ahli perniagaan dan delegasi dari kedua-dua negara. Ia menyediakan perkembangan terkini mengenai dasar, insentif, kemudahan dan perkhidmatan sokongan kedua-dua kerajaan.

    Ghassan berkata negara sedang meneliti haji dan umrah dari perspektif ekonomi dan perdagangan halal, kedua-dua negara berkongsi minat yang sama dan sebarang kerjasama seterusnya akan melengkapi antara satu sama lain.

    “Sektor kewangan menjadikan Malaysia diiktiraf sebagai peneraju bagi produk patuh syariah, juga merupakan sektor bagi Arab Saudi untuk jalin kerjasama,” katanya.

    Sementara itu, Dr Hamdan Al Semreen, Pengerusi Majlis Dewan Perniagaan Saudi, berkata perdagangan dan pelaburan dijangka meningkat dalam masa beberapa tahun berdasarkan kedudukan utama negara itu dalam ekonomi dunia dan matlamat baharu kerajaan untuk memajukan lagi negara di bawah Visi Arab Saudi 2030.

    “Program di bawah Visi 2030, menawarkan peluang baharu dan berpotensi kepada rakan-rakan kongsi kami di seluruh dunia untuk mewujudkan kerjasama dalam melaksanakan projek pembangunan dalam pelbagai sektor seperti tenaga, perlombongan, bandar perindustrian, peruncitan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan perumahan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda