DUBAI, 31 MEI – Berpuluh-puluh ribu masjid di seluruh Arab Saudi dibuka semula hari ini buat kali pertama dalam masa lebih daripada dua bulan, dengan jemaah masjid mengikuti garis panduan ketat bagi mencegah merebaknya koronavirus meskipun kawasan paling suci Islam, Mekah masih ditutup kepada orang awam.
Dalam persediaan pembukaan sekitar 90,000 masjid ini, kerajaan menyahbersihkan sejadah, kawasan berwuduk dan rak-rak yang menempatkan kitab suci Al-Quran.
Kementerian Hal Ehwal Islam mengatakan berjuta-juta teks mesej dihantar kepada orang ramai dalam pelbagai bahasa bagi memaklumkan mengenai peraturan baharu bagi sembahyang di tempat awam, termasuk memastikan jarak fizikal dua meter semasa solat, memakai penutup mulut dan hidung setiap masa dan mengelak daripada bersalaman dan memeluk jemaah lain.
Kanak-kanak bawah 15 tahun juga tidak dibenarkan memasuki masjid. Manakala mereka yang mempunyai keadaan kronik diminta bersembahyang di rumah sahaja. Orang ramai juga dinasihatkan berwuduk terlebih dahulu di rumah memandangkan kawasan wuduk masjid akan ditutup, menggunakan pensanitasi tangan dan membawa sejadah dan Al-Quran mereka sendiri. Garis panduan itu juga menetapkan bahawa masjid-masjid hanya akan dibuka 15 minit sebelum setiap sembahyang fardu lima waktu dan ditutup selepas 10 minit ia berakhir. Khutbah Jumaat dan sembahyang pula tidak melebihi 15 minit.
Arab Saudi hari ini turut membatalkan satu larangan perjalanan udara domestik dan membenarkan pekerja sektor awam menyambung semula pekerjaan, meskipun kehadiran penuh tidak dibenarkan sehingga pertengahan Jun.
Langkah-langkah baharu itu dibuat ketika Arab Saudi dan negara-negara lain di seluruh dunia turut melonggarkan sekatan dan arahan duduk rumah selepas berminggu-minggu perintah berkurung dan perintah pergerakan. – AP