Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi, Qatar lunaskan hutang Syria kepada Bank Dunia

    RIYADH/ISTANBUL, 28 APRIL – Arab Saudi dan Qatar kelmarin Ahad mengumumkan bahawa mereka akan melunaskan hutang Syria kepada Bank Dunia berjumlah AS$15 juta, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Dalam kenyataan bersama, kedua-dua negara itu memaklumkan pembayaran tunggakan Syria berkenaan akan mempercepatkan proses pemulihan negara yang dilanda perang itu.

    “Langkah ini juga akan membuka akses Syria kepada sokongan kewangan dalam masa terdekat untuk membangunkan sektor-sektor penting, selain bantuan teknikal yang akan menyumbang kepada pembinaan semula institusi, pembangunan kapasiti serta penggubalan dasar serta pembaharuan untuk memacu pembangunan,” menurut kenyataan itu.

    Arab Saudi dan Qatar turut menggesa institusi kewangan serantau dan antarabangsa agar,  “segera menyambung semula dan memperluaskan kerja-kerja pembangunan di Syria, menggabungkan usaha serta menyokong segala inisiatif yang dapat merealisasikan aspirasi rakyat Syria bagi masa depan yang lebih menjanjikan.”

    Kementerian Luar Syria dalam kenyataan berasingan merakamkan penghargaan kepada Qatar dan Arab Saudi atas inisiatif persaudaraan untuk menyelesaikan tunggakan kewangan Syria kepada Bank Dunia.

    Kementerian itu memaklumkan langkah terbabit mencerminkan komitmen bersama untuk menyokong rakyat Syria dan meringankan beban ekonomi, di samping membuka ruang kerjasama lebih luas dengan institusi antarabangsa bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula.

    Syria berharap dapat memperkukuhkan hubungan dengan Qatar dan Arab Saudi, serta meneruskan kerjasama efektif yang memberi manfaat kepada rakyat dan mengukuhkan kestabilan di rantau ini, menurut kenyataan kementerian.

    Sementara itu, Pengarah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, berkata badan itu berhasrat membantu Syria membina semula institusinya dan mengintegrasikan semula ke dalam ekonomi global.

    Bashar al-Assad, yang memerintah Syria hampir 25 tahun melarikan diri ke Rusia pada Disember lalu, menamatkan pemerintahan berdekad Parti Baath yang bermula sejak 1963. – Bernama/Anadolu

    Bendera Syria yang sedang dinaikkan dalam satu upacara di Bangunan Utama Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu pada 25 April. Arab Saudi dan Qatar bantu lunaskan hutang Syria kepada Bank Dunia. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda