RIYADH, 11 SEPT – Pemantauan keselamatan proaktif yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, melalui Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, bagi menjejaki aktiviti dan operasi rangkaian jenayah yang terbabit dalam penyeludupan dadah, telah membawa kepada rampasan 6.87 juta tablet amphetamine yang berasal dari Lubnan, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Jurucakap kementerian, Brigedier Jeneral Talal bin Abdul Mohsen bin Shalhoub berkata, penghantaran itu, yang disembunyikan dalam bekas cat telah berjaya dipintas di Pelabuhan Islam Jeddah ketika dalam perjalanan ke sebuah negara lain.
Dengan kerjasama Pihak Berkuasa Zakat, Cukai dan Kastam serta perkongsian risikan bersama agensi rakan sejawat di Lubnan, pihak yang terlibat dalam cubaan penyeludupan itu telah ditahan dan tambahan 8.0 juta tablet dalam simpanan mereka turut dirampas, menjadikan jumlah keseluruhan yang dirampas dalam operasi tersebut sebanyak 14.85 juta tablet.
Jurucakap keselamatan itu turut menggesa warga dan penduduk negara itu untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan penyeludupan atau pengedaran dadah. – Bernama


