MEKAH, 16 OGOS – Arab Saudi menyarankan pemakaian semula pelitup wajah kepada jemaah umrah yang mengunjungi Masjidilharam dan Masjid Nabawi bagi mencegah penularan penyakit berjangkit di kawasan sekitarnya.
Menurut infografik yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi di laman X pada Isnin lalu, saranan itu dibuat bagi memelihara tahap kesihatan jemaah umrah dan para pengunjung kedua-dua masjid suci umat Islam berkenaan.
Saranan itu juga merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dikuatkuasakan Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah 1445 Hijrah bagi warganegara dan penduduk tetap Arab Saudi serta negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Saranan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai ‘varian yang menjadi perhatian’.
Media Arab Saudi sebelum ini melaporkan Jabatan Hal-Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Julai lalu telah mengedarkan hampir dua juta pelitup wajah kepada para tetamu al-Rahman. – Bernama


