Friday, February 21, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi sasar jadi tuan rumah Piala Dunia 2034

    RIYADH, 5 OKT – Arab Saudi mengumumkan kelmarin bahawa ia merancang untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, langkah terbaharu dalam usaha memajukan negara itu sebagai pusat sukan global.

    Bidaan itu ‘bertujuan untuk mengadakan kejohanan bertaraf dunia dan akan mengambil inspirasi daripada transformasi sosial dan ekonomi berterusan Arab Saudi serta semangat mendalam negara ini terhadap bola sepak,’ kata kenyataan dari Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi.

    Berita mengenai bidaan itu datang setahun selepas Qatar, negara jiran, menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah, di mana pasukan kebangsaan Arab Saudi mencatatkan kemenangan mengejutkan di peringkat kumpulan menentang Argentina pada masa itu yang kemudiannya menjadi juara.

    Pengumuman Arab Saudi itu datang sejam selepas Badan Induk Bola Sepak Dunia (FIFA) mengeluarkan kenyataan mengenai rancangan untuk Piala Dunia 2030 dan mengundang negara-negara dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membida menjadi tuan rumah bagi 2034.

    Selepas kejohanan Qatar, Arab Saudi menandatangani Cristiano Ronaldo untuk bermain dalam Liga Pro Saudi, menjadi pemain pertama dalam senarai bintang-bintang utama dengan bayaran gaji yang lumayan ke negara pengeksport minyak mentah terbesar di dunia itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda