RIYADH, 12 NOV – Arab Saudi menyasarkan untuk membangunkan sektor pelancongan sebagai sektor ekonomi kedua terbesar negara itu bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan mencapai kemapanan ekonomi jangka panjang, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Mahmoud Abdulhadi, kelmarin.
Bercakap kepada media pada penutupan sesi ke-26 Perhimpunan Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Abdulhadi menekankan pelaburan besar kerajaan Arab Saudi dalam infrastruktur pelancongan.
“Kami mempunyai 29 lapangan terbang di seluruh negara, lebih 70,000 kilometer jalan raya dan rangkaian kereta api yang sedang dibangunkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan hubungan ekonomi yang ‘kukuh dan mendalam’ antara Arab Saudi dan China, sambil menyifatkan China sebagai ‘rakan kongsi penting’ dalam pembangunan pelancongan Arab Saudi.
“Syarikat-syarikat China, dengan kepakaran dan teknologi mereka, telah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan di Arab Saudi, dan kerjasama ini akan diteruskan untuk bertahun-tahun akan datang,” katanya. – Bernama


