Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi tamat sekatan ke atas Qatar

    AL-ULA, ARAB SAUDI, 5 JAN – Emir pemerintah Qatar tiba di Arab Saudi dan disambut dengan pelukan oleh putera mahkota hari ini, susulan pengumuman yang kerajaan itu akan menamatkan sekatan lamanya ke atas negeri Teluk Arab yang kecil itu.

    Keputusan untuk membuka sempadan merupakan langkah besar pertama dalam menamatkan krisis diplomatik yang memisahkan rakan-rakan pertahanan Amerika Syarikat, menjejaskan hubungan masyarakat dan memusnahkan ikatan mesra perikatan negara-negara Arab.

    Ketibaan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani di bandar gurun purba kerajaan Al-Ula itu disiarkan langsung dalam Saudi TV. Beliau dilihat turun dari pesawatnya dan disambut mesra dengan pelukan oleh Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman, dengan kedua-duanya memakai penutup mulut dan hidung bagi langkah waspada koronavirus.

    Emir berada di Al-Ula bagi sidang kemuncak tahunan para pemimpin Teluk Arab yang dijangka akan mengendurkan ketegangan antara Qatar dan empat negara Arab yang telah memutuskan rangkaian pengangkutan dan hubungan diplomatik dengannya sejak pertengahan 2017 berhubung sokongan Doha ke atas kumpulan Islamis dan hubungannya bersama Iran.

    Kejayaan diplomatik itu muncul selepas dorongan muktamad oleh pentadbiran Trump dan rakan negara Teluk, Kuwait untuk mengadakan rundingan bagi menamatkan krisis tersebut.

    Walaupun keputusan Saudi membuka ruang udaranya, sempadan darat dan laut dengan Qatar menandakan kejayaan ke arah penyelesaian pertikaian, laluan ke arah perdamaian penuh masih lagi jauh.

    Sidang kemuncak hari ini itu dijangka akan menyaksikan beberapa pengenduran ketegangan antara Qatar dan UAE, Mesir dan Bahrain, termasuk majlis penandatangan bersama Arab Saudi.

    Mesyuarat di Al-Ula secara tradisinya akan dipengerusikan oleh Raja Saudi, Salman, meskipun anakandanya yang juga pewaris takhta, putera mahkota, mungkin sebaliknya akan memimpinnya.

    Tahun ini, menteri luar negeri Mesir juga menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk enam negara yang terdiri daripada Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar. – AP

    Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman ketika menyambut kedatangan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sejurus tiba di Al-Ula, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk kali ke-41 pada 5 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda