Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi tandatangani perjanjian eksport hidrogen hijau, tenaga ke Eropah

    RIYADH, 21 JULAI – Syarikat ACWA Power dari Arab Saudi kelmarin telah menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa rakan kongsi antarabangsa bagi mewujudkan rantaian nilai eksport hidrogen hijau dan tenaga boleh diperbaharui antara Arab Saudi dan Eropah.

    Majlis menandatangani perjanjian dan MoU yang diadakan di Riyadh itu adalah sebahagian daripada peranan perintis negara itu dalam meningkatkan kesalinghubungan logistik global dan kepimpinannya dalam projek Koridor Ekonomi India-Timur Tengah-Eropah (IMEC), didorong oleh lokasi geografinya yang strategik yang menghubungkan Timur dan Barat, lapor agensi berita Emirates, WAM.

    Perjanjian dan MoU itu ditandatangani semasa Bengkel Eksport Tenaga Diperbaharui dan Hidrogen Hijau, yang diterajui oleh ACWA Power di bawah seliaan Kementerian Tenaga.

    Acara itu menghimpunkan wakil-wakil kerajaan peringkat tinggi dari Arab Saudi, Greece, Perancis dan Jerman serta eksekutif syarikat antarabangsa yang pakar dan institusi nasional terkemuka.

    Bengkel itu mempamerkan kemajuan negara itu dalam mempelbagaikan campuran tenaganya dan menggalakkan integrasi serantau dan antarabangsa dalam tenaga bersih mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal tenaga global yang boleh dipercayai dan peneraju utama dalam koridor ekonomi yang menghubungkan Timur dan Barat. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda