DUBAI, 13 Ogos – Pasukan keselamatan Arab Saudi menutup bandar majoriti Syiah di timur negara beraja Sunni itu, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW), ekoran kekacauan dan pertempuran dengan polis selama berbulan-bulan.
Pihak berkuasa Saudi minggu lalu berkata mereka telah merampas kawalan ke atas sebuah daerah, Awamiya, sebuah bandar di rantau timur Qatif yang mana para pembantah telah meningkatkan pertempuran dengan pasukan keselamatan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan. HRW berkata hari ini bahawa pasukan keselamatan Saudi telah sepenuhnya ‘mengepung dan menutup ” Awamiya.
Kumpulan yang beribu pejabat di New York itu berkata berdasarkan imejan satelit perbandingan dari Februari dan Ogos, bahagian-bahagian besar di bandar itu telah mengalami kerosakan banyak, termasuklah infrastruktur awam.
“Pihak berkuasa Saudi seharusnya mengambil langkah segera untuk membolehkan orang ramai pulang dengan selamat ke rumah mereka, membolehkan perniagaan dan klinik untuk dibuka semula, dan memberi pampasan kepada para penduduk bagi harta benda yang rosak dan juga kemusnahan oleh pasukan keselamatan,” kata pengarah Timur Tengah HRW, Sarah Leah Whitson.
Pihak berkuasa Saudi menyalahkan ‘para pengganas’ dan penyeludup dadah di atas kekacauan baru-baru ini di Awamiya, tempat meletusnya pertempuran antara para pembantah dan pasukan keselamatan sejak Mei lalu yang telah mengorbankan orang awam dan anggota polis. – AFP